bismillah Pictures, Images and Photos

Suatu petang saya menonton TV bersama seorang teman di lounge mahallah, “hmmm, rancangan Wanita Hari Ini…dah lama tak tengok” bisik hati saya. Rancangan hari itu dibawa khas dari Putrajaya International Convention Centre (PICC) bagi siaran langsung Islamic Fashion Festival Kuala Lumpur-Jakarta-Dubai. Berbagai-bagai fesyen dari pereka ternama diperagakan, cantik-cantik semuanya…tapi kenapa hati kecil saya berasa tidak senang? Tiba-tiba teman saya bersuara “fesyen muslimah macam ni ke?”, rupanya teman saya merasai apa yang saya rasa…

Memanglah tema rekaan tu berkenaan fesyen muslimah, tapi rata-rata rekaan yang diperagakan tidak mengikut ‘dresscode’ yang digariskan dalam Al-Quran dan Sunnah. Hati saya mula mengomel, “dimana letaknya kefahaman pereka-pereka tersebut tentang garis panduan pemakaian bagi muslimah? Sedangkan kebanyakan pereka yang ikut serta adalah muslim, hanya seorang dua non-muslim”. Saya jadi terpanggil untuk menyemak semula panduan-panduan etika berpakaian yang digariskan menurut agama islam. Jadi, sekembalinya dari menonton, tangan saya terus ligat menyelak buku-buku dari rak yang sudah agak lama dibiarkan berhabuk.

Melindungi Bahagian Dada

“….. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dada mereka, …..” (An-nur[24]:31)

Ini adalah antara perkara yang selalu dipandang remeh oleh ramai wanita muslim. Kebanyakan muslimah hari ini mengenakan fesyen bertudung yang bermacam-macam dan disesuaikan pula dengan berbagai acara. Ada yang panjang berlilit-lilit…tapi masih tidak melindungi dada. Ada yang sarung sahaja, simple dan cepat katanya… tapi pendek sangat, ala-ala tutup leher je. Bertambah menawan bila dipadankan dengan pakaian yang sedondon…tapi agak ketat sehingga menampakkan bentuk payudara. Wahai saudara muslimahku…ada sebab mengapa Allah memberi kita perintah sebegitu. Dada adalah ‘aset’ penting bagi tubuh wanita, padanya terletak berahi sang adam…kerana itu ia menjadi sebahagian daripada aurat yang wajib dilindungi. Kemekarannya perlu dipelihara dan disimpan rapi, kalau ia sudah menjadi bahan pameran apa lagi lah yang tertinggal untuk suami kita.

Sekadar memakai tudung tidak mencukupi. Tudung yang tidak melindungi bahagian dada, walaupun dipakai dengan busana yang longgar, tetap menampakkan bentuk tubuh ketika ditiup angin. Walaupun itu faktor yang berada diluar kawalan manusia, sekurang-kurangnya jika kita mengenakan tudung yang menutup dada, kejelasan itu dapat dikurangkan pada tahap yang paling minimum. Mungkin ada yang berkata, “ala tak guna pakai tudung labuh-labuh ni, mata lelaki boleh x-ray baju perempuan…tu kan fitrah diorang!”. Ya, memang naluri lelaki dijadikan sebegitu…tapi adakah itu bermaksud kita boleh memperlihatkan aurat kepada mereka dengan semudahnya? Wah,seronoklah lelaki!

Memanjangkan Pakaian

“Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, ‘hendaklah mereka memanjangkan jilbabnya (pakaian longgar yang dapat menutup kepala, wajah dan dada) ke seluruh tubuh mereka.’ Yang demikian itu agar mereka lebih mudah untuk dikenali, sehingga mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.” (Al-ahzab[33]:59)

Memanjangkan pakaian juga dituntut dalam etika berpakaian menurut agama islam. Ini tidaklah bermaksud seorang muslimah itu mesti berjubah sepanjang masa. Islam adalah agama yang mudah, jadi kita diberi kebebasan untk memilih apa jua fesyen yang kita minati sesuai dengan citarasa dan budaya setempat, tapi dengan syarat masih dalam tatasusila pemakaian muslimah, malah boleh juga berseluar asalkan longgar dan kemejanya menutup punggung. Ada sesetengah pendapat yang tidak membenarkan langsung wanita berseluar atas alasan haram kerana ia menyerupai lelaki. Walaubagaimanapun saya harus akui, perihal yang menyangkut jumhur ulama’ bukan ‘specialty’ bagi saya dan pengetahuan saya kurang mendalam untuk berbincang sampai ke tahap itu. Mungkin selepas ini ada pembaca yang boleh membantu saya berkenaan hukum dan pendapat ulama.

Kadang-kala bila ke ibu kota, saya jadi hairan melihat wanita-wanita islam yang berpakaian ala kadar. Ada ketikanya saya melihat muslimah yang lengkap bertudung dan berpakaian longgar, tapi skirt yang disarung sedikit senteng sehingga menampakkan betis bunting padi tatkala menghayun langkah. Ada kalanya, kain dah cukup panjang tapi terlalu jarang sehingga menampakkan batang kaki, itu belum kira baju fit lagi…masyaALLAH. Terlalu asyik mengikut perkembangan fesyen, sampai tidak sedar aurat dijadikan bahan sendaan, sedangkan kita seharusnya faham bagaimana ‘style’ pakaian yang bercirikan keislaman dan membezakan identiti wanita bukan islam dengan wanita islam yang diangkat martabatnya disisi agama.

Kesimpulannya…..

Tidak dinafikan masih ada rekaan ‘runway’ yang boleh diterima jika diselarikan dengan etika islamiyah, sebagai contoh jika rekaan itu longgar dan dikenakan dengan tudung lilit yang melindungi dada…bukankah manis begitu? Tidak salah mengikuti perkembangan fesyen apatah lagi yang bertemakan busana muslim, namun suka saya mengingatkan…jangan sampai jadi ‘fashion victim’. Pihak orientalis sering menjadikan ‘dresscode’ muslimah sebagai senjata dengan melabelkannya sebagai kongkongan dan penindasan. Tidak kurang juga musuh-musuh islam yang cuba meracuni pemikiran wanita muslim dengan menunggangi pereka-pereka fesyen.

Etika berpakaian yang ditetapkan dalam islam adalah manifestasi betapa wanita dipandang tinggi dan dimuliakan dalam agama ini, sehinggakan cara berpakaian turut digariskan dengan teliti agar maruah wanita muslim terus terpelihara. Kerana itulah Rasulullah SAW pernah bersabda, sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah…dan dalam kes ini, wanita solehah pastilah seorang wanita yang sentiasa peka dengan apa yang dipakainya.

Artikel ini bukanlah semata-mata untuk muslimah sahaja, tetapi turut ditujukan kepada para muslim. Untuk para muslim, perhatikanlah apa yang dipakai oleh isteri-isteri anda, anak-anak perempuan anda, ibu-ibu anda, dan saudara-saudara perempuan anda. Tegurlah mereka jika cara pemakaian mereka tidak menurut landasan islam, kerana dibahu anda tergalas tanggungjawab yang berat untuk mendidik wanita-wanita disekeliling anda. Jika anda gagal menunaikannya, mereka pasti menarik anda ke neraka bersama-sama mereka. Jadi, peliharalah mereka seumpama anda anda memelihara bidadari yang turun dari langit…jangan biarkan mereka jadi display set.

Sumber: tintazahrana.blogspot.com

Tiada ulasan: